Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Sabtu, Mac 10, 2012

Sekolah Henry Gurney berinovatif


pelatih Sekolah Henry Gurney bergilir-gilir membersihkan kandang Projek Ternakan Lembu Tenusu.


KENINGAU 23 Jun - Sekolah Henry Gurney (SHG) merupakan sebuah institusi dalam Jabatan Penjara Malaysia yang ditubuhkan bagi mengurung pesalah berusia antara 14 dan 21 tahun setelah mendapat Perintah Mahkamah Juvana.

Apabila disebut SHG, secara sinikalnya akan wujud perspektif kurang manis dalam kalangan orang ramai, seolah-olah penghuninya terlalu jahat dan langsung tidak mempunyai peluang untuk memperbaiki diri.

Persepsi itu silap kerana SHG selain berfungsi sebagai pusat tahanan ia juga secara holistiknya bertujuan memulihkan penghuninya, selari dengan dasar penubuhannya untuk membentuk sikap keperibadian penghuninya ke arah kesempurnaan kehidupan bermasyarakat yang sejahtera dan produktif kepada negara.

Moto SHG iaitu RESURGAM bermaksud We Shall Rise Again (Kami akan bangkit semula) memberi makna bahawa penghuninya sedia menerima pemulihan dan menuju ke tempat yang lebih baik sebagai rakyat berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sebagai sebuah institusi yang ditubuhkan khas bagi memperbaiki akhlak penghuni yang telah terpesong, sekolah ini menitikberatkan kepada dua bentuk latihan yang berlainan iaitu vokasional dan akademik.

Selari itu, SHG Keningau di sini merupakan antara pusat pemulihan yang berdaya saing apabila secara inovatif menyasarkan untuk menjadi salah satu organisasi pengeluar hasil tenusu berskala besar.

Ia sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan bukan sahaja kepada sekolah itu tetapi mampu memantapkan kesiapsiagaan penghuninya apabila keluar kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Komisioner Jeneral Datuk Zulkifli Omar berkata, Projek Ternakan Lembu Tenusu SHG itu amat baik dan berpotensi menjadikannya sebagai sebuah institusi contoh.

"Saya yakin hasrat SHG untuk menjadi pengeluar tenusu berskala besar akan menjadi kenyataan atas bimbingan jabatan berkaitan dan beberapa penternak berjaya di daerah tersebut," katanya sempena lawatan kerja bagi meninjau projek itu di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Pengarah SHG Keningau, Jorennedy Sylvester dalam taklimatnya berkata, projek ternakan lembu berkenaan merupakan sebahagian daripada salah satu pelan induk Jabatan Penjara Malaysia dalam tempoh 2009 hingga 2010 untuk menjana pendapatan berskala besar perkhidmatan dalam pelbagai bidang.

Katanya, objektif utama projek berkenaan ialah untuk menggiatkan program pemulihan daripada sudut kemahiran, selain mewujudkan perusahaan produk berskala besar.

Jelas Jorennedy, sekolah itu telah mengambil keputusan merealisasikan projek berkenaan memandangkan ia mempunyai keluasan tanah kira-kira 36 hektar, iaitu kira-kira 20 hektar daripadanya masih belum diterokai.

"Sekolah ini juga mempunyai 115 pegawai dan 186 penghuni, yang mana dua orang daripada pegawainya pernah mengikuti kursus berkaitan penternakan lembu tenusu," katanya.

Sebagai persediaan untuk mengembangkan lagi projek berkenaan kepada yang berskala besar, beliau berkata, ladang tersebut kini mempunyai fidlot lembu untuk kapasiti 30 ekor lembu, kandang anak lembu, pusat perahan susu dan unit pemerah susu, stor baja dan racun serta padang penanaman rumput seluas empat hektar.

"Ladang SHG mempunyai potensi tinggi dan berdaya saing kerana mempunyai kemudahan bagi mendapatkan bekalan lembu dan baja serta ubat-ubatan ternakan di Stesen Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak yang berhampiran, selain mempunyai akses penuh kepada khidmat nasihat pakar dalam bidang berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, salah satu cabaran yang harus dihadapi oleh sekolah berkenaan dalam menjalankan projek tersebut adalah kos penyelenggaraan makanan dan baja yang tinggi serta serangan penyakit haiwan tenusu.

"Ia bukan penghalang, sebaliknya akan dijadikan pemangkin untuk menghasilkan terbaik. Potensinya amat tinggi, tambahan pula ia merupakan projek berskala besar pertama Jabatan Penjara, malah ia juga mampu menghasilkan produk hiliran lain seperti biogas," katanya.

Jorennedy berkata, projek permulaan yang mempunyai 30 ekor lembu itu dijangka akan menghasilkan pendapatan tahunan sebanyak RM270,000, manakala kos operasi yang merangkumi perbelanjaan makanan lembu dan baja rumput bagi kapasiti 30 ekor lembu berkenaan ialah RM73,200.

"Ini bermakna, projek berkenaan dijangka mampu menghasilkan untung kasar sebanyak RM196,800 untuk setahun," katanya.

Sehubungan itu, katanya, SHG Keningau memohon kepada Jabatan Penjara untuk menambah peruntukan sejumlah RM150,000 lagi bagi mengembangkan projek berkenaan.

Dalam usaha menjayakan projek berkenaan, sekolah tersebut telah menerima sokongan dan bantuan Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di daerah ini.

Tiada ulasan: